Pengenalan
Kompos adalah sejenis baja organik yang boleh memperbaiki struktur tanah. Ianya terhasil daripada proses pereputan sisa bahan organan oleh mikroorganisma. Proses pereputan ini adalah penting kerana ia menukar sisa organik daripada menjadi bahan pencemar alam kepada bahan yang berguna. Walau bagaimanapun kualiti baja kompos bergantung kepada cara membuatnya. Perhatian perlu diberi ke atas perkara-perkara berikut untuk menghasilkan baja kompos yang berkualiti.
Tapak Membuat baja Kompos
Bangsal atau pondok kompos adalah disyorkan untuk menghasilkan baja kompos yang berkualiti. Binaan ini memberi persekitaran yang terkawal untuk membuat kompos dan boleh mengelakkan dari kehilangan nutrien disebabkan oleh larutlesap semasa hujan yang lebat. Sekiranya tiada pondok atau bangsal, tapak yang dipilih hendaklah berhampiran dengan sumber bekalan air (untuk membasahkan baja kompos), mempunyai sistem saliran yang baik dan mempunyai teduhan (seperti di bawah pokok).
Bahan-bahan Untuk Kompos
- Sisa Bahan Berkarbon
Jerami padi, habuk kayu, daun tebu, batang kekacang, batang keledek, daun kering, batang jagung yang dicincang, empulur jagung, rumput kering, hancuran kertas dan lain-lain.
- Sisa Bahan Bernitrogen
Najis haiwan, hampa padi, rumpai segar, sisa sayuran, sampah sarap dan lain-lain.
Membalikkan Longgokan Kompos
Pada amnya, kompos boleh diguna selepas tiga bulan proses membuatnya dijalankan. Darjah/kadar pereputan di dalam satu-satu longgokan kompos adalah berbeza. Untuk itu adalah penting untuk membalik dan meggaul longgokan kompos setiap dua atau tiga minggu sekali bagi mendapatkan baja kompos yang mempunyai kualiti yang seragam. Proses menggaul perlu diulang dua ke tiga kali sepanjang proses membuat kompos. Siraman air tambahan adalah perlu sekiranya bahan kompos terlalu kering.
Bagaimana Menggunakan Baja Kompos
Bagi tanaman seperti jagung, keledek, tembakau, sayur-sayuran dan bunga hiasan, baja kompos perlu ditabur di atas tanah sebelum dibajak. Sebaliknya bagi tanaman kekal, seperti pokok buah-buahan dan teh, baja kompos perlu ditabur di sekitar batang pokok. Kadar penggunaan baja kompos yang disyorkan adalah seperti berikut:-
Kadar yang disyorkan penggunaan baja kompos di Taiwan
Jenis tanaman
|
Kadar
|
Tanaman tanah tinggi Jagung Keledek dan Teh Tembakau | 10,000-20,000 kg/ha 20,000-25,000 kg/ha 15,000-20,000 kg/ha |
Tanaman Buah-buahan Limau Belimbing Betik Nanas | 10 kg/pokok 15 kg/pokok (dibubuh semasa menanam benih) 10,000 kg/ha 15,000 kg/ha |
Sayuran Sayur jenis daun Sayur jenis buah Sayur jenis umbisi Sayur jenis bebawang | 10,000-20,000 kg/ha 10,000-20,000 kg/ha 10,000-30,000 kg/ha 10,000-20,000 kg/ha |
Amaran/Perhatian
- Pada amnya, baja kompos sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semua nutrien bagi tanaman terutamanya bagi unsur nitrogen. Oleh itu baja kimia, adalah perlu digunakan sebagai tambahan kepada baja kompos. Kadar tambahan bagi setiap elemen/nutrien bergantung pada kualiti bahan mentah yang digunakan dalam membuat kerja kompos.
- Sesetengah sisa organik, terutama sisa makanan mungkin tidak sesuai untuk dijadikan bahan mentah untuk baja kompos kerana kandungan logam berat atau keasidan yang tinggi. Perhatian perlu diambil tentang jenis bahan organik baru yang hendak digunakan buat pertama kali.
Sumber: Jabatan Pertanian Negeri Perak
0 comments:
Catat Ulasan